THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES

Thursday, January 07, 2010

1 FEBRUARI

Sudah seminggu lamanya Nizan duduk di rumah tanpa membuat apa-apa. Kehidupannya selama seminggu hanya makan dan tidur sahaja. Mana tidaknya, Nizan jatuh demam selepas bermandi hujan seminggu yang lepas ketika menombak kelapa sawit peninggalan arwah ayahnya. Nizan melakukan kerja-kerja mengusahakan tanah peninggalan itu bersama dua orang pekerja mereka yang digajikan sejak sebelum arwah ayah pergi lagi. Nizan dengan mereka sangat rapat seperti keluarga walaupun pekerja tersebuat adalah warga seberang. Bagi Nizan, status bukan penting dalam pergaulan. Yang lebih mustahak adalah adab dan sikap seseorang dalam bermasyrakat dan bersaudara.

Keadaan Nizan masih tidak berubah walaupun sudah seminggu mengambil ubat demam daripada klinik desa di kampung kediamannya. Tidak cukup dengan ubat daripada klinik, Nizan juga mendapatkan rawatan tradisional dengan meminum herba yang disediakan oleh emaknya. Walaupun kelat rasanya namun terpaksa juga dihabiskan air herba memandangkan emak Nizan akan memerhatikan Nizan menghabiskan air herba tersebut. Emak Nizan memang seorang yang cukup tegas namun hatinya lembut.

Tit… Tit… Telefon bimbit Nizan berbunyi menandakan ada pesanan yang masuk. Nizan membuka mesej tersebut. Daripada Rahmat rupanya.

-          Salam, kau dah sembuh?
-          Belum lagi Mat. Macam itu jugak. Kau buat apa?
-          Aku rasa bosan duduk di rumah ni. Ingat mahu ajak kau keluar pergi pekan petang ni. Tapi kau masih belum sihat. Tak jadilah.
-          Eh, jangan macam tu. Aku rasa aku dah semakin baik ni. Petang nanti eloklah rasanya.
-          Betulkah ni?
-          Insya-Allah, Mat.
-          Baiklah. Kita jumpa petang nanti ya Nizan.
-          Baiklah. Jangan tidur pulak.
-          Aik, aku kah yang tidur atau kau Nizan?
-          Perli aku lagi lah tu.
-          Mana ada. Kau rasa pedaskah? Sorry.
-          Dahla, aku nak rehat kejap.
-          Baik bos!

Nizan dan Rahmat memang sahabat baik sejak di bangku sekolah lagi. Ke mana sahaja Nizan pergi, pasti ada Rahmat dan di mana ada Rahmat, di situ ada Nizan. Nizan berpegang pada sebuah hadis yang amat popular yang berbunyi:
Terdapat tiga cara untuk merasai kemanisan iman; pertama adalah mencintai Allah dan Rasulullah melebihi cinta kepada yang lain. Kedua, mencintai sahabatnya melebihi diri sendiri. Dan yang ketiga takut melakukan dosa kerana membenci api neraka.
Kerana itulah hubungan mereka sangat rapat rapat dan saling bantu membantu antara satu sama lain. Pada kebiasaaannya, Nizan akan membantu Rahmat dari segi akademik dan rahmat pula membantu Nizan dari segi kewangan memandangkan Nizan seorang pelajar harapan sekolah dan Rahmat adalah seorang anak usahawan berjaya di kampungnya.

Pada petangnya, walaupun belum pulih sepenuhnya Nizan mengambil keputusan untuk keluar bersama rahmat seperti yang telah dijanjikan pada pagi hari. Selepas mengenakan baju t-shirt berwarna coklat dan seluar trek hitam, Nizan bergerak perlahan keluar daripada biliknya. Keadaannya agak bertenaga walaupun masih demam.

“Hah, mahu ke mana Nizan?” Mak Siah bertanya.

“Arr… Anu… Ar…” Nizan tergagap-gagap.

“Nizan kan belum sihat. Duduk di rumah.”

“Tapi Nizan dah janji dengan Rahmat. Nanti apa pulak kata Rahmat.”

“Tapi kamu kan belum sihat, nak.”

“Tak mengapa mak. Rahmat ada.”

“Yalah, jangan balik lewat sangat. Nizan tu demam.”

“Baik. Mak.”

Nizan keluar rumah dengan senyuman dengan harapan dapat bertemu dengan Rahmat selepas seminggu tidak bertemu sahabat baiknya itu. Melangkah sahaja Nizan daripada pintu hadapan rumah, Rahmat terus tiba di halaman rumah Nizan. Warna baju yang dipakai oleh Rahmat sama dengan Nizan. Cuma coraknya yang berlainan. Mereka menunggang basikal menuju ke pekan. Rahmat memberitahu Nizan bahawa dia ingin membeli barangan dapur yang dipesan oleh ibunya sebelum membeli dakwat printer kepunyaannya yang baru habis semalam.  Nizan hanya mengikut kehendak Rahmat.

Setibanya di pekan, Rahmat dan Nizan meletakkan basikal di sebelah kedai runcit berhadapan dengan kedai gunting rambut yang menjadi tempat mereka melepak semasa pulang dari sekolah dahulu. Nizan turun daripada basikal dan mengekori langkah Rahmat menuju ke kedai runcit untuk membeli pesanan ibu Rahmat. Semasa berjalan menuju ke kedai runcit tersebut, tiba-tiba sesuatu pergerakan melalui hadapan Nizan. Kali ini sungguh hampir dengan dirinya dan jelas di hadapan matanya sendiri. Nizan tergamam seketika dan langkahnya terhenti mati. Nizan memerhatikan sahaja sambil matanya tidak berkelip-kelip. Rahmat terus meninggalkan Nizan dan masuk ke dalam kedai runcit. Mata Nizan mengekori pergerakan tersebut sehingga hilang melalui bangunan rumah kedai di hadapannya.

~ Dialah orangnya! Hati Nizan berkata sendiri. Rupanya perempuan itulah yang dilihat oleh Nizan semasa bermain bola tampar dalam perlawanan persahabatan beberapa minggu yang lalu. Perempuan itulah yang membuatkan Nizan terpukau apabila melihat dia lalu di hadapannya. Nizan amat tidak percaya bahawa semua ini adalah realiti dan bukan khayalan semata-mata. Maklumlah bahawa Nizan merupakan seorang yang suka melamun panjang. Nizan sangat tertarik dengan perpempuan tersebut kerana lirikannya sangat mencuri pandangan Nizan. Kulitnya yang hitam manis menggambarkan keindahan hati dan perasaannya. Nizan dibuai dengan perasaan jiwang yang menikam hingga ke lubuk hatinya. Adakah Nizan jatuh cinta?

“Woi! Sejak tadi aku tengok kau melamun panjang. Tak habis-habis.” Rahmat menyentak lamunan Nizan.

“Aku nampak dia lagi. Dia memang betul-betul ada. Bukan ilusi.”

“Apa yang kau nampak? Dari hari itu kau kata kau nampak sesuatu tapi entah apa bendanya. Hantuka?”

“Hesh, bukanlah. Budak perempuan. Cun gila.”

“Betulkah? Mana? Mana? Kenapa tak bagitahu aku sejak tadi? Aduhai, melepaslah aku ni.”

“Sorry. Kau memang tiada chance lagi untuk dia tu. Tak perlu nak sibuk.”

“Why not?”

“Sebab aku dah mula terpikat dengan dia.”

“Apa? Nizan jatuh hati setelah empat tahun kecewa? Baguslah tu.”

“Kau memang tak habis-habis mahu perli aku. Sudahlah.”

Selepas selesai membeli barangan yang diperlukan oleh Rahmat, mereka berdua kembali pulang ke rumah masing-masing. Nizan terbayangkan wajah perempuan yang lalu di hadapannya sebentar tadi. Terlalu manis pada pandangan mata Nizan. Ayu dan menawan.

Tiga hari selepas itu, Nizan sudah sihat sepenuhnya. Nizan kembali mengusahakan kebun kelapa sawit yang agak lama ditinggalkannya. Nizan keluar seawall pukul 7.30 pagi dan hanya akan pulang ke rumah untuk makan tengah hari. Kadang-kadang Nizan tidak akan makan tengah hari sebaliknya menghabiskan ker-kerja kebun terlebih dahulu sebelum terus pulang untuk berehat. Hari itu Nizan tidak pulang makan tengah hari sebaliknya menyiapkan semua kerja memandangkan tinggal sedikit sahaja lagi. Nizan pulang ke rumah kira-kira pukul 3.05 petang dan merehatkan diri di bilik seperti biasa selepas membersihkan badannya. Nizan tertidur sehinggalah solat maghrib kunjung tiba.

Keesokkan harinya seperti biasa pada hujung minggu Nizan akan lewat bangun memandangkan terlalu letih bekerja di kebun kelapa sawit keluarganya. Selepas bangun tidur, Nizan bersiap-siap untuk keluar ke pekan. Kali ini Nizan keluar sendiri denagn tujuan untuk mencari gadis yang pernah lalu dihadapannya sejak beberapa minggu yang lepas. Nizan keluar dengan wajah yang sangat ceria dan penuh harapan. Dalam fikiran Nizan hanya satu yang bermain iaitu menemui gadis tersebut dan berkenalan dengannya. Nizan menunggang basikal seperti biasa dengan berseluar jeans dan baju t-shirt biru.

Setibanya di pekan, Nizan meletakkan basikal di tempat biasa dan berdiri sendiri di sebelah kedai runcit tempat dia bertemu dangan gadis misteri itu kali kedua. Nizan mengharapkan pertemuan kali ketiga ini akan mebawa kepada perkenalan antara keduanya. Nizan terus berdiri menanti kehadiran gadis itu walaupun sudah hampir tiga jam menunggu gadis tersebut. Ternyata penantian Nizan tidak sia-sia dan mendatangkan hasil. Gadis itu sekali lagi lalu di hadapan Nizan. Kali ini Nizan tidak terlalu terpaku seperti kali pertama dan kali kedua melihat gadis tersebut.

“Assalamualaikum.” Nizan menyapa.

“Wa alaikumusalam.” Gadis itu menjawab dengan nada yang perlahan. Jantung Nizan berdenyut deras apabila mendengar suara gadis tersebut.

“Maaf, mengganggu.”

“Tiadalah. Tidak mengganggu pun. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?”

“Macam ni. Saya dah lama tengok awak. Ingat tak semasa perlawanan bola tampar tempoh hari,”

“Perlawanan bola tampar? Yang mana satu ya?”

“Bunyi macam banyak kali saja pegi perlawanan bola tampar. Pemain kah?”

“Tidaklah. Minat sahaja tapi langsung tak pandai main pun.”

Hampir sejam Nizan dan gadis tersebut berbual dan bergurau senda seperti sudah lama berkenalan. Baru sahaja Nizan dan gadis itu bertemu, kemesraan seolah-olah timbul dalam perbualan mereka berdua.

“Eh, sudah hampir sejam kita berbual. Tapi kita tak mengenali pun nama masing-masing. Siapa nama awak?” Nizan bertanya meneruskan perbualan mereka berdua.

“Ya pula kan. Nama saya Nazifah. Panggil Azi sahaja pun cukup. Semua orang pun panggil Azi.” Gadis tersebut menjawab. “Awak?” Nizan terpaku seketika. Hampir sama dengan nama Najihah. Ah!

“Nizan. Mohamamad Nizan bin Salim. Orang biasa panggil awak Azi? Saya tak mahu panggil awak dengan nama itu boleh tak?”

“habis itu, awak nak panggil saya apa?”

“Nazifah. Nazi….fah. bolah saya panggil awak Ifah?”

“Eh, awak? Orang tak biasa panggil saya macam itu tau. Kalau awak panggil saya guna nama tu, awaklah orang pertama yang menggunakan nama tersebut.”

“Awak suka?”

Ifah hanya terdiam dan tersenyum seolah-olah membenarkan Nizan untuk memanggilnya dengan nama itu. Ifah terpinga-pinga dan membetulkan tudung yang dipakainya seperti dalam keadaan malu. Nizan turut tersenyum. Selepas beberapa lama mereka meneruskan perbualan, Nizan mengambil keputusan untuk pulang ke rumah memandangkan hari semakin gelap dan tidak manis jika anak dara keluar sampai senja. Nizan amat menghormati harga diri dan kesopanan yang terpancar dalam wajah Ifah. Kening Ifah yang tebal itu menjadi igauan Nizan sejak pertemuannya kali pertama lagi.

Setibanya di rumah, Nizan menunaikan solat maghrib dan terus terlena di atas katil bercadarkan biru kesayangannya. Nizan hanya terjaga selepas pukul 10.00 malam dan terus menunaikan solat isyak. Selepas menunaikan solat isyak, Nizan mencapai telefon bimbitnya yang terletak di atas kerusi belajar Nizan. Dia membelek telefon bimbit dan mula menekan-nekan punat telefon bimbitnya. Alamak, ada mesej! Sejak pukul 8.37 malam lagi. Daripada Ifah! Nizan terus membuka mesej tersebut.

-          Salam, Nizan. Awak buat apa?
Nizan membalas mesej tersebut.
-          Salam. Ifah, Nizan tertidur tadi. Baru sahaja bangun ni. Ifah buat apa?
-          Ifah tengah tengok tv sekarang nie. Dengan mak dan ayah.
-          Eh, tengok tv pun nak mesej dengan kita?
-          Tak apa kalau awak tak nak.
-          Eh, siapa yang tak nak?
-          Awak lah.
-          Siapa kata?
-          Herm…

Nizan dan Ifah menghabiskan sepanjang malam sehingga lewat untuk berbalas-balas mesej.

Hubungan antara Nizan dan Ifah semakin hari semakin rapat. Setiap hari Nizan dan Ifah saling berbalas mesej melalui telefon bimbit mereka. Nizan mula mengenali diri Ifah yang usianya sebaya dengan Nizan. Hanya beza 7 bulan sahaja. Perwatakan Ifah hampir sama dengan perwatakan Najihah yang pernah dikenalinya sebelum ini. Nizan kadang-kadang tertanya-tanya sama ada Ifah juga akan memberikan jawapan yang sama seperti Najihah setelah Nizan meluahkan hatinya kelak. Nizan tidak dapat menafikan perasaan cintanya mula wujud setelah selepas sebulan mengenali dan mendekati Ifah. Pernah sekali Nizan cuba mengusik Ifah dengan kata-kata yang manja dan jiwang. Ifah hanya mampu tertawa kecil tidak memberikan respon sama ada suka arau tidak. Kadang-kadang Ifah mengingatkan Nizan agar jangan terlalu lebih dalam melayan Ifah.

Sementara itu, Ifah pula tertanya-tanya sama ada dia mula jatuh hati dengan Nizan atau tidak. Ifah merasakan pandangannya sudah tertarik pada Nizan tapi hatinya tidak tahu lagi. Ifah merasakan ada sesuatu yang cuba menghalangnya daripada meneruskan hubungannya dengan Nizan. Ifah bukan tidak pernah bercinta dengan lelaki, tetapi Ifah tidak boleh mengungkiri janji yang sudah dilakar sebelum ini. Ifah terkeliru sama ada sekiranya dia menjalinkan hubungan cinta dengan Nizan akan membuatkan dia mengingkari sebuah janji yang telah dibuat sebelum ini. Ifah terkeliru.

Beberapa hari selepas itu, Ifah tidak lagi menghubungi Nizan walaupun Nizan berulangkali menanyakan khabar Ifah melalui mesej. Kadang-kadang Nizan cuba membuat panggilan kepada Ifah tetapi tidak dijawab. Nzan tertanya-tanya akan tindakan Ifah yang secara tiba-tiba menyepikan diri.

“Ya Allah, apakah yang sudah aku lakukan terhadap Ifah sehingga dia tak nak jawab panggilan dan mesej aku?” Nizan bertanya sendiri. Nizan kembali terkenangkan Najihah yang turut melakukan perkara yang sama sebelum meninggalkan Nizan empat tahun yang lalu.

-          Nizan, Ha minta maaf. Tapi Ha rasa ini yang terbaik buat kita. Nizan jangan tanya Ha kenapa Ha buat semua ini kerana tiada jawapan untuk soalan tersebut pada Ha buat masa ini. Ha harap Nizan faham yang kita tak akan bersama.
Nizan mengingat kembali mesej Najihah yang pernah dhantar kepadanya dahulu. Fikiran Nizan melayang jauh. Sangat jauh. Nizan mula membayangkan pula Ifah yang mula dikenalinya kira-kira sebulan yang lalu. Nizan menyukai ketawa riang Ifah dan lirikan mata manjanya. Nizan amat tertarik dengan lirikannya sehingga Nizan akan sengaja mengusik Ifah untuk mendapatkan lirikan tersebut berulang kali. Semakin Ifah melirik ke arahnya, semakin Nizan jatuh hati. Begitulah keadaan hati Nizan pada saat ini.

Empat tahun lalu selepas kecewa mendengar jawapan kepada luahan Nizan daripada mulut Najihah, Nizan ada bertekad untuk tidak lagi bercinta. Namun, pada saat ini Nizan terpaksa mengingkari tekadnya kerana perasaan dan gelodak jiwanya seperti sudah menguasai dirinya. Baginya, Ifah adalah seorang yang terbaik bagi menggantikan cintanya dengan Najihah. Mungkinkah inilah cinta hakiki yang pernah diidamkan oleh Nizan sebelum ini. Ah, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan keran perjalan hidup Nizan masih panjang dan cinta itu boleh berubah-ubah. Perasaan Nizan yang masih terpendam ini masih lagi belum diterjemah melalui luahan perasaannya dan lafaz kata cinta pada Ifah. Dan sekiranya Nizan sudah melafazkan perasaannya terhadap Ifah, perjalanan cintanya akan tiba di suatu persimpangan sama ada ke kiri yang memusnahkan hatinya buat kali kedua tau ke kanan yang menandakan Ifah menerima hati dan perasaan Nizan.

Nizan mula runsing memikirkan keadaannya pada saat ini. Pertemuan Nizan dan Ifah sememangnya membawa kepada sebuah perkenalan. Petang 1 Februari 2009 menampakkan sebuah perkenalan antara seorang yang sudah lama putus cinta dengan seorang gadis yang belum diketahui status hidupnya. Perkenalan keduanya telah membawa kepada sebuah persahabatan dan melakar sebuah kemesraan yang tercipta secara sendiri. Akhirnya pada saat ini, hampir dua bulan perhubungan dan kemesraan dijalin, timbul pula sebuah perasaan yang menjadi persoalan kehidupan para remaja dunia. Rasa cinta yang menjadi fitrah manusia.

Perkenalan yang mebawa kepada perhubungan dan kemesraan antara Nizan dan Ifah telah membawa kepada sebuah kerinduan. Nizan amat merindui Ifah sekiranya tidak berhubung selama sehari dua. Sementara itu Ifah pula turut merasai perasaan yang sama sehingga asyik terbayangkan Nizan setiap ketika. Rindu sememangnya membawa kepada perasaan kasih yang tercetus akibat kemaruk rindu yang berpanjangan. Nizan mula merasai dirinya mencipta kasih terhadap Ifah setelah asyik merindui Ifah yang juga turut dirasa oleh Ifah. Perasaan kasih ini lah yang membawa kepada perasaan cinta antara kedua-duanya. Betullah istilah yang mengatakan pertemuan melakar perkenalan. Perkenalan melukis perhubungan. Perhubungan mewarna kemesraan dan kemesraan mencorak kerinduan. Sememangnya kerinduan mencipta sebuah kasih dan kasih tercipta membina perasaan cinta. Akhirnya, cinta akan berkekalan sekiranya setia dan kejujuran berpadu menjadi satu. Fuh, sungguh indah kata-kata itu.

Namun, perasaan gelisah terus menghantui fikiran Ifah. Apakah yang harus dilakukannya terhadap perasaanya kepada Nizan. Ifah juga tertanya-tanya sama ada Nizan juga turut mempunyai rasa kasih terhadapnya atau sekadar bertepuk sebelah tangan sahaja. Cuma yang menjadi penghalangnya adalh janji yang pernah disemai sebelum ini. Belum lagi terlintas di hati Ifah untuk mengingkari janji yang sebahagian daripada amanah yang digalaskan di atas pundaknya. Ifah keliru dan berada dalam dilema. Semuanya ini ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa. Namun apakah sebenarnya yang menjadi penghalang kepada Ifah untuk menerima Nizan? Dan adakah Nizan akan meluahkan perasaannya pada kali ini atau hanya memendamkan sahaja dalam hatinya? Apakah yang bakal terjadi? Semuanya pasti tejawab dalam episod yang seterusnya.

0 comments: